Selasa, 30 Jun 2020 | 3:17pm
Rana Mohammad Masud dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi di kawasan semak, minggu lalu. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Rana Mohammad Masud dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi di kawasan semak, minggu lalu. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Warga asing tidak mengaku buang mayat bayi

AYER KEROH: Seorang lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi di kawasan semak, minggu lalu.

Rana Mohammad Masud, 29, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas, menyembunyikan kelahiran bayi berusia enam bulan dalam kandungan dengan membuang mayat bayi terbabit ke semak di Kawasan Perindustrian Merdeka di sini, kira-kira jam 5 petang, 25 Jun lalu.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 3 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X