Selasa, 30 Jun 2020 | 4:31pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Jurutera wanita rugi RM503,000 akibat 'love scam'

AYER KEROH: Seorang jurutera wanita kerugian lebih RM503,000 selepas diperdaya sindiket 'love scam'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan E Sundra Rajan, berkata wanita terbabit berkenalan dengan suspek yang kononnya tinggal di London melalui laman sosial Instagram sejak April lalu.

Beliau berkata, perhubungan itu kemudiannya semakin mesra dan suspek mendakwa mengalami masalah kewangan kepada mangsa kerana akaun pelaburannya disekat pihak bank.

"Atas dasar simpati dan percaya, mangsa kemudian bersetuju memberi pinjaman wang, selepas suspek berjanji akan memulangkan semula wang berkenaan.

"Bermula pertengahan April sehingga Jun, mangsa memberi pinjaman wang sejumlah RM503,937 kepada suspek melalui tujuh akaun bank yang berbeza," katanya.

Sundra berkata, mangsa bagaimanapun merasakan dirinya ditipu satu sindiket love scam selepas menerima panggilan daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai Jabatan Kastam.

"Melalui panggilan itu, dia diminta membayar RM175,000 bagi melepaskan parcel miliknya yang ditahan Kastam di KLIA sebelum membuat laporan polis.

"Justeru, pihak polis meminta orang ramai supaya berhati-hati dalam dalam melakukan pemindahan wang ke akaun tidak dikenali serta terlebih dahulu menyemak nombor akaun yang meragukan," katanya.

Berita Harian X