Selasa, 30 Jun 2020 | 5:39pm

PDRM tumpas sindiket seludup migran terbesar

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sepenuhnya kegiatan penyeludupan migran terbesar di negara ini dengan melumpuhkan tiga sindiket penyeludupan utama menerusi Op Benteng: COVID 19 di Johor, Perak dan Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata operasi dilaksanakan secara serentak menerusi operasi khas, Op Pintas Selatan 2020 (Johor), Op Benteng Lintang (Perak) dan Op Arakan (Pulau Pinang) bermula 4 Jun sehingga 20 Jun lalu.

"Hasil operasi itu, seramai 111 suspek ditahan termasuk ahli-ahli kumpulan yang sudah dikenal pasti berada dalam tahanan penjara.

"Tiga sindiket dikenal pasti sebagai Geng Otong di Johor, Geng Halim (Perak) dan Geng Husen Maungdaw (Pulau Pinang)," katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Ketiga-tiga geng itu dikenal pasti aktif menyeludup migran dari Indonesia, Filipina dan juga etnik Rohingya melalui perairan di selatan, tengah dan utara tanah air sejak 2014.

Katanya, Geng Otong diketuai seorang lelaki Indonesia dikenali dengan panggilan Otong dengan jumlah ahli melebihi 51 orang, dikesan aktif dalam kegiatan penyeludupan migran terutamanya daripada Indonesia melalui perairan timur Johor sejak 2014.

Geng Halim pula didapati aktif menyeludup migran melalui perairan Hutan Melintang, Perak sejak 2017 diketuai seorang lelaki tempatan dikenali dengan nama Halim. Sindiket ini dianggarkan mempunyai lebih 17 ahli.

"Geng Husen Maungdaw yang mempunyai lebih 20 ahli dikesan bukan sahaja aktif menyeludup migran etnik Rohingya ke negara ini malah turut aktif mendalangi kegiatan samun berkawan sejak 2014 dengan menjadikan etnik itu sebagai sasaran.

"Sindiket diketuai seorang lelaki Rohingya dikenali sebagai Husen Maungdaw aktif melakukan penyeludupan migran menggunakan perairan utara Semenanjung dan melakukan samun berkawan di Pulau Pinang sejak 2014," kata Huzir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed. - Foto fail NSTP/Asyraf Hamzah

Menurutnya, daripada 111 suspek yang ditangkap menerusi tiga operasi khas itu, 57 orang adalah ahli Geng Otong, Geng Halim (35 orang) dan Geng Husen Maungdaw (19 orang). Kesemua mereka berusia antara 28 hingga 68 tahun.

"Dalang utama sindiket penyeludupan Geng Halim sudah pun diberkas, bagaimanapun Otong dan Husen Maungdaw masih bebas dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan.

"Ini termasuk lapan lagi ahli sindiket terdiri daripada dua ahli sindiket Geng Otong, empat ahli Geng Halim dan dua ahli Geng Husen Maungdaw," kata beliau.

Menerusi tiga operasi khas itu, polis turut merampas pelbagai aset antaranya 29 telefon bimbit milik Geng Otong, sebuah bot nelayan kelas C, sebuah bot laju, dua kereta dan 21 telefon bimbit milik Geng Halim serta lima kereta, dua motosikal serta 12 telefon bimbit milik Geng Husen Maungdaw.

"Kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Tiga kertas siasatan sudah pun dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Putrajaya dan kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru (Johor), Ipoh (Perak) dan Georgetown (Pulau Pinang) pada 2 Julai ini," katanya.

Siasatan terhadap mereka turut dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 untuk tindakan ke atas harta dan wang hasil kegiatan haram.

Menerusi operasi itu juga, katanya polis menahan 24 penguat kuasa terdiri daripada 17 pegawai dan anggota polis (14 di Johor, tiga di Perak), lima anggota tentera (Johor) dan dua anggota Jabatan Imigresen di Pulau Pinang.

Kesemua mereka masih ditahan mengikut SOSMA 2012 untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X