Selasa, 30 Jun 2020 | 6:14pm
Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Amran Daud, menunjukkan dadah yang dirampas dalam Ops Makmur, Sabtu lalu. - NSTP/Asrol Awang
Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Amran Daud, menunjukkan dadah yang dirampas dalam Ops Makmur, Sabtu lalu. - NSTP/Asrol Awang

8 ditahan bersama rampasan dadah dianggarkan RM61,000

KUANTAN: Lapan lelaki tempatan ditahan bersama rampasan dadah disyaki syabu dan heroin dianggarkan bernilai RM61,000 dalam Ops Makmur di Tanjung Gemok, Kuala Rompin, Rompin, Sabtu lalu.

Suspek berumur antara 25 hingga 49 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Amran Daud, berkata sebuah bot gentian kaca yang digunakan empat daripada suspek terbabit turut disita.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan terhadap kegiatan pengedaran dadah di kawasan persisiran muara Endau, Mersing, Johor, oleh anggota Maritim Malaysia yang membuat rondaan menggunakan bot kilat sebelum terserempak empat lelaki menaiki sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 3 petang

"Sebaik saja empat suspek terbabit menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka cuba melarikan diri tetapi gagal dan ditahan anggota Maritim Malaysia.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa dua bungkusan plastik hitam mengandungi 15 bungkusan kecil yang disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 238.5 gram bersama wang tunai RM3,350.

"Soal siasat dijalankan terhadap empat suspek itu kemudian membawa kepada penggeledahan sebuah rumah di Endau, Mersing, dan penangkapan empat lagi suspek.

"Di rumah terbabit, kita merampas 388.85 gram dadah disyaki syabu dan heroin serta wang tunai RM600," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Maritim Malaysia Pahang, di sini, hari ini.

Amran berkata, nilai keseluruhan rampasan meliputi dadah seberat 627.35 gram dan bot gentian kaca dianggarkan berjumlah RM87,000.

Beliau berkata, semua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita percaya sindiket ini bermula di Johor dan menyeludup dadah ke Pahang melalui jalan air untuk pasaran di daerah Rompin.

"Difahamkan, dadah terbabit untuk dijual kepada 50 hingga 100 orang dan sasaran mereka ialah nelayan.

"Kita juga sedang menjejaki pembekal utama yang dipercayai berada di Mersing dan Kluang, Johor," katanya.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai pelanggaran undang-undang di laut boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Pahang melalui talian 09-5717345 atau talian bantuan kecemasan MERS 999.

Berita Harian X