Rabu, 1 Julai 2020 | 11:14am
NUR Aliya (engah) bersama ibunya, Rusniwati kelihatan lemah dan tidak bermaya yang setia menunggu bapanya, Harun Daud, yang masih belum ditemui dalam kejadian bot terbalik di perairan Kuala Kemasin. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar
NUR Aliya (engah) bersama ibunya, Rusniwati kelihatan lemah dan tidak bermaya yang setia menunggu bapanya, Harun Daud, yang masih belum ditemui dalam kejadian bot terbalik di perairan Kuala Kemasin. - Foto/Nik Abdullah Nik Omar

'Saya harap abah ditemui'

BACHOK: "Saya reda abah selamat atau tidak, itu sahaja doa saya," luah Nur Aliya Harun, 19, anak Harun Daud, 60, mangsa yang masih belum ditemui dalam kejadian bot terbalik di perairan Kuala Kemasin, di sini, semalam.

Nur Aliya, yang berada di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR), Jeti Perikanan Kemasin, kelihatan lemah dan tidak bermaya, namun terus bertahan menanti khabar bapanya yang masih belum diketahui nasibnya.

Sebaik diberitahu SAR ditangguhkan kerana cuaca gelap, dia kembali berasa sedih memikirkan bapanya yang masih belum ditemui, namun akur dengan prosedur standard operasi (SOP) pihak penyelamat.

"Kami sekeluarga akur dengan keputusan agensi keselamatan untuk sambung mencari abah esok (hari ini). Saya terus kuatkan diri, selain memberi semangat buat ibu, Rusniwati Abdullah, 50, dan adik-beradik yang lain.

"Kali terakhir saya berjumpa dan bersalam dengan abah ketika dia menghantar saya ke sekolah, pagi semalam, memandangkan saya pelajar Tingkatan Enam yang baru sahaja memulakan sesi parsekolah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tiada sebarang perubahan, malah seperti biasa dia mengukir senyum dan melambai saya ketika tiba sekolah. Saya juga tahu hasratnya ke laut kerana abah selalu pergi mencandat sotong," katanya ketika ditemui di Jeti Perikanan Kemasin, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, berkata operasi mencari tiga mangsa yang masih hilang disambung semula, jam 6 pagi ini dengan memperluaskan lagi kawasan pencarian kepada 324 batu nautika, berbanding semalam, 162 batu nautika.

Nur Aliya yang juga pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim Satu, Pasir Mas, berkata mereka sekeluarga setia menunggu di situ, sejak malam semalam, dan hanya pulang sekejap untuk solat di rumah saudara di Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu, sebelum kembali ke lokasi SAR.

"Luluh hati saya melihat keluarga mangsa lain sebaik pihak penyelamat membawa naik mangsa yang meninggal dunia sebelum ini, namun saya terus kuat kerana apa yang penting sekarang ini abah saya perlu ditemui.

"Sejak kejadian ini, saya akui berasa seperti bermimpi kerana tidak menyangka abah antara mangsa. Saya merayu semua mendoakan semoga abah ditemui segera, selain bimbang keadaan ibu tiada selera makan dan tak dapat tidur.

"Esok (hari ini), kami pasti kembali lagi ke lokasi ini dengan harapan abah dapat ditemui. Kami sekeluarga reda dengan ujian ini dan menerima segala ketentuan Ilahi," katanya.

Berita Harian X