Khamis, 2 Julai 2020 | 9:54pm

SPRM tahan pegawai imigresen disyaki terbabit rasuah RM3,000

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Jabatan Imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM3,000.

Suspek yang bertugas di Jabatan Imigresen Putrajaya ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor, kira-kira jam 2 petang tadi.

Sumber memaklumkan, suspek berusia lingkungan 40-an itu disyaki meminta dan menerima rasuah RM3,000 daripada seorang individu bagi meluluskan pelanjutan permit pekerja asingnya yang telah tamat tempoh.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman pada jam 9 pagi esok.

Berita Harian X