Rabu, 8 Julai 2020 | 1:38pm
Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah reman enam hari terhadap setiausaha politik seorang bekas menteri berkaitan rasuah projek pertahanan bernilai lebih RM56 juta sekitar 2016.
Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah reman enam hari terhadap setiausaha politik seorang bekas menteri berkaitan rasuah projek pertahanan bernilai lebih RM56 juta sekitar 2016.

SPRM tahan setiausaha politik bekas menteri

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM56 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap lelaki itu bermula hari ini hingga 13 Julai depan, selepas mendengar permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Sumber berkata, siasatan itu menjurus kepada pembabitan lelaki berkenaan dengan kes itu ketika bertugas sebagai setiausaha politik di Kementerian Pertahanan.

Bekas setiausaha politik berusia 49 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8 malam tadi selepas hadir memberi keterangan. 

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima rasuah bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan projek itu pada sekitar Ogos 2019.

Sumber itu berkata siasatan itu membabitkan kes baharu dan tiada kena-mengena dengan isu muflis dan pembayaran hutang yang disiasat SPRM pada 2018.

SPRM turut menyita pelbagai mata wang tunai yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 serta dokumen berkaitan projek berkenaan bagi siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM.

Berita Harian X