Rabu, 8 Julai 2020 | 2:57pm
Bekas Penolong Eksekutif FELCRA, Norhisyam Hamidin, 42 (kanan), di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini. FOTO BERNAMA
Bekas Penolong Eksekutif FELCRA, Norhisyam Hamidin, 42 (kanan), di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini. FOTO BERNAMA

Bekas Penolong Eksekutif FELCRA dihukum penjara 3 bulan, denda RM30,000

KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM30,000 terhadap bekas Penolong Eksekutif FELCRA yang mengaku bersalah atas empat pertuduhan memalsukan tandatangan bagi menunaikan cek bernilai RM34,920 pada 2016.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib juga memerintahkan hukuman penjara terhadap Norhisyam Hamidin, 42, yang beralamat di Jerantut, ditambah tiga bulan jika tertuduh gagal menjelaskan denda terbabit.

Tertuduh didakwa memalsukan tandatangan milik Yang Dipertua Koperasi Peserta-peserta Gugusan Tembeling Tengah Jerantut Berhad, Naim Desa, bagi menunaikan cek atas nama koperasi itu di Bank Islam cawangan Jerantut antara 14 November hingga 7 Disember 2016, dengan niat untuk kegunaan diri sendiri.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika dilantik sebagai pegawai yang menguruskan hal berkaitan akaun dan kewangan koperasi itu, pada mesyuarat diadakan sekitar 2016.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu untuk menunaikan cek yang membabitkan nilai antara RM6,750 dan RM12,000. Tertuduh ditangkap pada 27 November 2019.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung empat anak berusia antara empat hingga 18 tahun, termasuk salah seorang akan ke institusi pengajian tinggi tidak lama lagi.

"Saya akui kesilapan yang dilakukan dan menyesal. Saya juga mengalami kesukaran untuk menanggung keluarga selepas diberhentikan kerja sejak lebih setahun lalu, terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nadzirah Zahari. – BERNAMA

Berita Harian X