Isnin, 13 Julai 2020 | 9:54pm
Lori tangki merempuh beberapa kenderaan dipercayai mengalami kegagalan brek dalam kejadian di MRR2 dari arah Taman Melati ke Batu Caves, tengah hari tadi. - Ihsan pembaca
Lori tangki merempuh beberapa kenderaan dipercayai mengalami kegagalan brek dalam kejadian di MRR2 dari arah Taman Melati ke Batu Caves, tengah hari tadi. - Ihsan pembaca

Lori tangki rempuh tiga kenderaan di MRR2

KUALA LUMPUR: Beberapa kenderaan rosak akibat dirempuh sebuah lori tangki yang terbabas dipercayai mengalami kegagalan brek dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Taman Melati ke Batu Caves, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.31 tengah hari itu, lori tangki dipandu seorang lelaki berusia 67 tahun itu merempuh tiga kereta masing-masing jenis PROTON Wira, PERODUA Aruz dan Honda City sebelum kenderaan itu terbabas di pembahagi jalan di tengah laluan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian itu turut membabitkan beberapa lagi kenderaan lain yang kini sedang dikenal pasti.

"Lori tangki berkenaan dipercayai mengalami masalah brek menyebabkan pemandunya hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan yang berada di laluan berkenaan.

"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Suhaimi bin Tukiman di talian 013-7557556 atau 03 61262222 bagi membantu siasatan.

Berita Harian X