Isnin, 13 Julai 2020 | 10:40pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pengusaha inap desa ditahan merasuah penguatkuasa MPK

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang menahan seorang pengusaha inap desa kerana memberi wang rasuah kepada Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

Menurut kenyataan dikeluarkan SPRM, suspek yang juga seorang lelaki berusia 29 tahun, yang juga pengusaha inap desa di Kluang itu, ditahan kira-kira jam 4 petang tadi di Pejabat SPRM Cawangan Kluang bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

"Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek memberi rasuah kepada Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sebanyak RM3,000 sebagai dorongan untuk membatalkan tiga kompaun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan MPK dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan.

"Ia juga sebagai dorongan supaya MPK tidak mengganggu premis perniagaan suspek pada masa hadapan.

"Kesalahan yang dilakukan oleh suspek adalah mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan MPK iaitu mempamerkan iklan tanpa lesen MPK dan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan iaitu mendirikan struktur bangunan tanpa kebenaran MPK dan kesalahan menjadikan tanah pertanian selain daripada maksud asal (homestay/chalet) dengan jumlah keseluruhan kompaun bagi ketiga-tiga kompaun tersebut berjumlah RM2,500," menurut kenyataan berkenaan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Berita Harian X