X
Isnin, 27 Julai 2020 | 12:30pm

Pemilik syarikat hadapi 15 tuduhan ubah wang haram

IPOH: Seorang pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 15 tuduhan pengubahan wang haram antara tahun 2016 hingga 2019.

Tertuduh, Chan Wai Sun, 63, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu ketika dikemukakan di hadapan Hakim, Mohd Fauzi Mohd Ismail.

Bagi kesemua pertuduhan, Wai Sun didakwa menggunakan akaun semasa dan simpanan miliknya serta akaun syarikat sebagai peralatan kesalahan berkaitan dengan pelakuan aktiviti haram.

Tertuduh turut didakwa menggunakan akaun simpanan tetap miliknya bagi menerima wang sejumlah RM100,000 daripada akaun semasa miliknya.

Kesemua kesemua kesalahan itu dilakukan melalui beberapa bank di Maybank Berhad Cawangan Ipoh Garden, Maybank Berhad Cawangan Gunung Rapat, Public Bank Berhad Cawangan Bercham antara 4 Januari 2016 hingga 27 Mei 2019.

Bagi kesemua pertuduhan, Wai Sun didakwa mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan dibaca bersama subseksyen 87(1) (a) Akta yang sama (Akta 613).

Tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Syafinas Shabudin, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan.

Terdahulu, Syafinas menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua 15 pertuduhan terbabit.

Bagaimanapun, Wan Muhd Ariff memohon jaminan lebih rendah sebanyak RM20,000 kerana tertuduh adalah warga emas yang tidak mempunyai pendapatan, selain mempunyai isteri dan seorang anak perempuan.

"Tertuduh hanya bergantung kepada pendapatan isteri yang kini bekerja sebagai penyelia stesen minyak dengan gaji RM2,400 sebulan," katanya.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dengan mengikut syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.

Berita Harian X