X
Khamis, 30 Julai 2020 | 3:42pm
Dari kiri: Tan Sri Tommy Thomas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Seri Gopal Sri Ram. - Foto NSTP
Dari kiri: Tan Sri Tommy Thomas, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Datuk Seri Gopal Sri Ram. - Foto NSTP

Perbualan Sri Ram dan Apandi tidak mengaitkan Tommy - Pendakwa Raya

KUALA LUMPUR: Perbualan melalui aplikasi WhatsApp di antara Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram dan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, langsung tidak mengaitkan nama Tan Sri Tommy Thomas, demikian ditegaskan Pendakwa Raya.

Perbualan itu adalah berhubung dakwaan bahawa Sri Ram menasihati Mohamed Apandi yang ketika itu Peguam Negara untuk menahan dan mendakwa Datuk Seri Najib Razak berkaitan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dalam hujahan, berkata nama Tommy tidak dikaitkan sama sekali dalam perbualan WhatsaApp itu atau dalam afidavit sokongan diikrarkan Mohamed Apandi bagi permohonan semakan kehakiman Najib dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi membatalkan kelayakan Sri Ram daripada mengetuai kes 1MDB dihadapi mereka.

Shamsul berkata, permohonan Najib juga tidak menyatakan bahawa Tommy mengetahui kandungan perbualan itu apabila membuat keputusan melantik Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

Katanya, pemohon (Najib) mengakui bahawa perbualan berkenaan yang didedahkan dalam afidavit tambahannya berlaku sebelum Tommy dilantik sebagai Peguam Negara dan Sri Ram dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

"Dalam keadaan ini, kami mempersoalkan bagaimana perbualan WhatsApp itu mempunyai kaitan dalam menentukan tiga isu sama ada pelantikan Sri Ram dilakukan mengikut peruntukan yang betul?

"Isu itu adalah sama ada Seksyen 376(3) dibaca dengan peruntukan berkaitan membenarkan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya untuk melantik Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc yang pada masa sama menjadi seorang peguam.

"Isu kedua adalah sama ada kuasa Pendakwa Raya untuk melantik peguam yang masih beramal tertakluk kepada Seksyen 377 dan dan 379 Kanun Acara Jenayah dan ketiga, sama ada Pendakwa Raya (Peguam Negara) melangkaui kuasanya melalui pelantikan itu," katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah, pelantikan Sri Ram dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah, di mana mengikut peruntukan umum itu Tommy tidak boleh menyatakan bahawa sesiapa pun boleh dilantik sebagai timbalan pendakwa raya termasuk jurutera dan akauntan.

Beliau berkata, mengikut peruntukan itu pelantikan Timbalan Pendakwa Raya mestilah dalam kalangan individu yang sesuai dan berkelayakan.

Katanya, pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara adalah satu pelantikan politik yang tidak boleh bersikap adil, menyebabkan beliau meletak jawatan, di mana ia berbeza dengan tindakan Mohamed Apandi yang kekal sehingga diberhentikan yang menunjukkan kelakuan wajar dan betul seorang penjawat awam.

"Apatah lagi dengan Sri Ram apabila salah laku beliau didedahkan (dalam afidavit) di mana beliau juga tidak boleh bertindak dengan tidak berat sebelah.

"Dengan itu kami menyatakan bahawa pelantikan Sri Ram adalah batal, tidak sah dan Tommy salah dalam menjalankan fungsinya...oleh itu pelantikan ini hendaklah dibatalkan," katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan pada 28 Ogos ini bagi keputusan.

Berita Harian X