Sabtu, 1 Ogos 2020 | 10:55am

Bomba, polis gagalkan cubaan amuk dan bunuh diri

KUALA LUMPUR: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, dibantu sepasukan polis berjaya menggagalkan cubaan bunuh diri oleh seorang lelaki yang sedang mengamuk di sebuah flat di Cheras, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.08 pagi di Flat Sri Johor, Cheras itu, lelaki terbabit yang memegang satu objek senjata tajam cuba terjun dari tingkat 5, flat berkenaan.

Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa L Logeswaran, berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 6.08 pagi.

"Seramai 20 anggota dan pegawai dengan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak dan Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.

ANGGOTA polis sedang memujuk lelaki yang mengamuk dan cubaan bunuh diri. - Ihsan Bomba
ANGGOTA polis sedang memujuk lelaki yang mengamuk dan cubaan bunuh diri. - Ihsan Bomba

"Setibanya di lokasi lelaki berusia 28 tahun itu sedang berada di koridor rumah sambil memegang senjata tajam," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata mangsa didapati mengamuk dan cuba membunuh diri, namun berjaya ditangkap menggunakan cara 'rapelling' iaitu menurunkan dua anggota dari atas bumbung flat kemudian menutup pintu utama di koridor.

"Pada masa sama pihak polis kemudian merempuh masuk ke dalam rumah dengan memecahkan pintu rumah hadapan," katanya.

Logeswaran berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi itu tamat pada jam 7.04 pagi," katanya.

ANGGOTA bomba ketika membantu menggagalkan cubaan seorang lelaki sedang mengamuk dan terjun dari tingkat 5, flat di Cheras. - Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba ketika membantu menggagalkan cubaan seorang lelaki sedang mengamuk dan terjun dari tingkat 5, flat di Cheras. - Ihsan Bomba
Berita Harian X