Sabtu, 1 Ogos 2020 | 11:05am
Polis membuat pemantauan premis yang tidak mengambil suhu dan merekodkan butiran pelanggan. Foto NSTP - hiasan
Polis membuat pemantauan premis yang tidak mengambil suhu dan merekodkan butiran pelanggan. Foto NSTP - hiasan

14 pemilik premis dikompaun RM1,000 ingkar PKPP

KEPALA BATAS: Seramai 14 pemilik premis perniagaan di sekitar daerah ini dikompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata operasi pemantauan digerakkan di sekitar Kepala Batas, Tasek Gelugor, Mak Mandin dan Telok Air Tawar.

Katanya, di antara kesalahan dilakukan pemilik premis adalah tidak mengambil suhu dan mencatat butiran pelanggan yang masuk ke premis mereka.

"Sehubungan itu, tindakan kompaun terpaksa dikeluarkan terhadap 14 pemilik premis perniagaan supaya mereka beringat dan tidak mengulangi kesilapan sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai terutama pemilik premis supaya tidak mengambil mudah SOP ditetapkan walaupun keadaan 'agak selesa' ketika ini.

"Pemantauan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat mematuhi segala arahan yang ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

"Seperti sedia maklum, pelaksanaan penggunaan pelitup muka juga berkuatkuasa bermula hari ini, justeru pemantauan yang lebih ketat akan dilaksanakan seluruh petugas pasukan pematuhan SOP PKPP bagi memastikan SOP itu dipatuhi," katanya.

Berita Harian X