Rabu, 9 September 2020 | 10:48am
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika hadir di mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/FATHIL ASRI
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika hadir di mahkamah Kuala Lumpur. - NSTP/FATHIL ASRI

Guan Eng dihadapkan 2 lagi pertuduhan Jumaat

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, akan dihadapkan dua lagi pertuduhan berkaitan tanah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin, ketika sebutan kes rasuah Guan Eng membabitkan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, hari ini.

Wan Shaharudin berkata, pihak pendakwaan menyerahkan notis kepada Guan Eng, pagi ini, untuk memaklumkan mengenai dua pertuduhan ke atasnya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu.

Seksyen itu adalah berkaitan kesalahan menyalahgunakan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta.

Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, satu lagi pertuduhan rasuah terhadap Guan Eng berhubung kes sama di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 10 Ogos lalu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, untuk dibicarakan bersama.

Pertuduhan itu ialah menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Pertuduhan itu dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah dalam prosiding hari ini, dan Guan Eng mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Pada prosiding itu, Guan Eng diwakili oleh peguam, Gobind Singh Deo.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan tarikh 12 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Berita Harian X