Rabu, 9 September 2020 | 1:58pm
Lelaki warga China diarahkan membayar denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas tuduhan menawarkan suapan terhadap seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar pada 12 Ogos lalu.NSTP/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN
Lelaki warga China diarahkan membayar denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas tuduhan menawarkan suapan terhadap seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar pada 12 Ogos lalu.NSTP/DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN

Warga China mengaku salah tawar suapan

KANGAR: Lelaki warga China diarahkan membayar denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas tuduhan menawarkan suapan terhadap seorang pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar pada 12 Ogos lalu.

Tertuduh, Huang Hong Ming, 35 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan bernilai USD 3,069 (RM12,869) dan dua utas jam tangan masing-masing berjenama 'Hugo Swiss Diamonds Automatic 80th Anniversary' dan 'Omega Coustellation Co-Axial Chronometer' kepada pegawai PGA berpangkat Asisten Superintendan.

Tindakan itu dilakukan sebagai balasan supaya pegawai terbabit tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh yang ketika itu didapati melakukan kesalahan masuk ke negara ini tanpa melalui pos yang ditetapkan Jabatan Imigresen dengan memiliki dua passport warganegara China milik Zhou Chou Fan dan Xiang Wen Qiang.

Semua kesalahan itu dilakukan pada 3.30 petang, 12 Ogos lalu di Pos BKC 7 PGA di dalam daerah Padang Besar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara seperempat daripada tempoh yang diperuntukkan iaitu lima tahun atau denda atau keduanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili peguam Chang Kai Ping.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh didenda sebanyak RM20,000 dan sekiranya gagal membayarnya dia akan dikenakan penjara selama lima bulan.

Mahkamah turut mengarahkan barangan bukti milik tertuduh di dalam pendakwaan dilucutkan hak dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Pada 12 Ogos lalu, media melaporkan seorang lelaki warga China cuba menyogok wang RM12,869 dan dua jam tangan mewah bernilai RM3,500 kepada pegawai PGA ketika gagal masuk ke negara ini secara haram.

Berita Harian X