Rabu, 16 September 2020 | 10:26am
 Polis menafikan gambar tular di media sosial, mendakwa kereta jenis Mazda yang ditemui di kawasan parkir di Bangi, dekat Kajang adalah kenderaan klon. FOTO/Facebook
Polis menafikan gambar tular di media sosial, mendakwa kereta jenis Mazda yang ditemui di kawasan parkir di Bangi, dekat Kajang adalah kenderaan klon. FOTO/Facebook

Bukan kereta klon

KUALA LUMPUR: Polis menafikan gambar tular di media sosial, mendakwa kereta jenis Mazda 6 yang ditemui di kawasan parkir di Bangi, dekat Kajang adalah kenderaan klon.

Hasil maklumat orang awam pada jam 6.30 petang Ahad lalu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Baru Bangi dikerahkan ke lokasi terbabit untuk menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata hasil pemeriksaan, kereta itu dilaporkan dicuri di Beserah, Kuantan.

"Kereta jenis Mazda 6 berwarna merah yang berkunci ditemui di kawasan letak kenderaan awam.

"Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan mempunyai status rekod kenderaan hilang.

"Kenderaan itu kemudian dibawa balik oleh anggota polis terbabit untuk tindakan dan siasatan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid menasihatkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat insiden jenayah atau kemalangan bagi membantu siasatan polis.

"Pihak polis khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang memerlukan bantuan dan kerjasama masyarakat untuk menjalankan tugas," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial kononnya pemilik kereta tulen Mazda dari Johor berjaya menjejaki 'kembarnya' di Bangi dan kereta Mazda yang ditemui di parkir itu dikatakan kereta klon.

Berita Harian X