Jumaat, 22 Ogos 2014 | 12:36pm

MH17: Pesawat bawa dua jenazah tiba di Ipoh

IPOH: Pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Hercules C130 yang membawa dua mayat mangsa MH17 selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini tepat jam 12.12 tengah hari tadi.

Pesawat itu membawa jenazah Noor Rahimmah Mohd Noor, 67, dan pramugari, Chong Yee Pheng, 40.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berangkat ke istiadat menerima dan memberi penghormatan dua jenazah mangsa MH17 itu.

Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut menyambut dan memberi penghormatan ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, beberapa EXCO kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Jenazah Noor Rahimmah akan dibawa ke rumah keluarganya di No 18 Jalan Ampang Tambun, Ipoh dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Masjid Lama, Tambun.

Mayat Yee Pheng pula akan dibawa ke rumah ibu bapanya di No 120 Jalan 4, Taman Pertama di sini sebelum disemadikan di Paradise Memorial Park, Chemor pada Ahad

Sementara itu, satu lagi mayat yang dibawa ke Perak, juga pramugari MAS, Azrina Yakop, 42, diterbang terus dari KLIA ke Lapangan Terbang Tekah, Taiping untuk dikebumikan di sana.

Sementara itu, suasana hiba menyelubungi kawasan LTSAS yang dihadiri beratus-ratus orang termasuk saudara mara mangsa dan orang kenamaan yang menunggu di situ jam 9 pagi.

Berita Harian X