Jumaat, 22 Ogos 2014 | 3:12pm
JENAZAH mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, ketua pramugari Azrina Yakob, selamat tiba di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Hidayah, Assam Kumbang, Taiping, Perak. - Foto NSTP
JENAZAH mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, ketua pramugari Azrina Yakob, selamat tiba di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Hidayah, Assam Kumbang, Taiping, Perak. - Foto NSTP

Jenazah anak kapal Azrina Yakob tiba di Taiping

TAIPING: Helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah pramugari MH17, Azrina Yakob, mendarat di Lapangan Terbang Tekah di sini pada jam 12.35 tengah hari, hari ini.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, berkenan hadir menyambut ketibaan jenazah yang diberi penghormatan tentera oleh 16 pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu.

Keranda yang dibaluti bendera Malaysia itu kemudian dibawa turun dan diusung oleh16 anggota tentera Batalion ke-9 RAMD itu ke van jenazah.

Van jenazah kemudian bergerak ke Masjid Al-Hidayah yang terletak kira-kira 50 meter dari kawasan pendaratan helikopter terbabit.

Terdahulu, Raja Jaafar tiba pada jam 12.20 tengah hari dan bertemu dengan ahli keluarga mangsa yang menunggu di lapangan terbang itu bagi menyambut ketibaan jenazah Allahyarhamah. Turut kelihatan ahli EXCO kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting dekat sini, Datuk Mohd Zahir Khalid serta EXCO, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Orang ramai yang datang sejak jam 11 pagi turut dibenarkan masuk ke dalam kawasan lapangan terbang untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di jalan raya berhampiran berikutan ramai daripada mereka menunggu dan memenuhi sepanjang jalan berkenaan untuk melihat ketibaan jenazah.

Jenazah kemudian dibawa menaiki van ke Masjid Al-Hidayah yang terletak kira-kira 50 meter dari kawasan pendaratan helikopter terbabit.

Berita Harian X