Selasa, 26 Ogos 2014 | 9:58pm
Pegawai polis membuat pemeriksaan ke atas pesawat Malindo Air, Penerbangan OD1158 ke Pulau Pinang yang terpaksa ditangguhkan berikutan dakwaan ancaman bom di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang hari ini.
- Foto Ihsan penumpang]
Pegawai polis membuat pemeriksaan ke atas pesawat Malindo Air, Penerbangan OD1158 ke Pulau Pinang yang terpaksa ditangguhkan berikutan dakwaan ancaman bom di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang hari ini.
- Foto Ihsan penumpang]

Penerbangan Malindo Air tertangguh 6 jam akibat ancaman bom

SUBANG : Penerbangan Malindo Air membawa 37 penumpang yang dijadualkan berlepas ke Pulau Pinang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di sini pada jam 3.40 petang tadi ditangguhkan selepas dilaporkan menerima ancaman bom.

Bagaimanapun, pemeriksaan rapi Unit Pemusnah Bom yang selesai pada jam 7.15 petang tadi mendapati ia selamat daripada sebarang ancaman itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kasim yang ditemui media di sini sebentar tadi memaklumkan menerima laporan berkenaan kejadian itu pada jam 4.10 petang.

Beliau berkata, pesawat kemudian diasingkan ke tempat selamat, sementara penumpang diarahkan turun bagi membolehkan pemeriksaan rapi dijalankan.

"Anggota K9 bersama dua anjing pengesan turut dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu pemeriksaan. Selepas pemantauan rapi dijalankan, kita dapati ia selamat daripada sebarang ancaman bom," katanya.

Susulan pengesahan itu, beliau berkata, pesawat dijadualkan berlepas kembali ke Pulau Pinang jam 9.30 malam ini, dengan dua penumpang membatalkan penerbangan kerana keletihan.

Berita Harian X