Selasa, 9 September 2014 | 3:04pm

Mekanisme antarabangsa perlu kawal pengaruh teknologi maklumat

KUALA LUMPUR: Malaysia mengharapkan satu mekanisme bersama diwujudkan di peringkat antarabangsa untuk mengatasi cabaran pengaruh teknologi maklumat dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata walaupun teknologi maklumat memainkan peranan penting dalam pembangunan dan perkembangan kanak-kanak, penggunaan teknologi tanpa kawalan boleh memberi impak negatif kepada golongan itu sehingga dewasa.

"Cabaran yang kita terpaksa hadapi kerana media sudah menjadi pelbagai, televisyen mempunyai pelbagai saluran, bukan sahaja saluran mengenai kanak-kanak, saluran berita, tetapi pelbagai perkara yang begitu luas dan terbuka yang sudah tentu akan mempengaruhi kanak-kanak.

"Begitu juga alat-alat lain seperti tablet, permainan video dan sebagainya yang mengubah sama sekali landskap bagaimana pembesaran kanak-kanak itu terlalu banyak dipengaruhi oleh pelbagai teknologi yang ada sekarang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Media Bagi Kanak-kanak (WSMC) 2014, di sini hari ini.

WSMC 2014 buat kali pertama memberi fokus terhadap peranan media dalam pembangunan, pelajaran dan kebajikan kanak-kanak di Asia sejak persidangan antarabangsa itu diperkenalkan 19 tahun lalu.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery berharap WSMC dapat merumuskan pandangan dan cadangan daripada pelbagai negara agar ia menjadi platform panduan dalam mendidik golongan kanak-kanak dalam era teknologi.

"Satunya kita berharap supaya ada persetujuan antarabangsa, apakah langkah yang mesti diakui bersama misalnya tentang soal pornografi kanak-kanak, atau aspek menggunakan kanak-kanak sebagai objek seksual.

"Bagaimana kita hendak mengawal program atau kandungan yang bersifat keganasan dan sebagainya supaya tidak meresap dan dalam masa yang sama bagaimana hendak mendidik ibu bapa untuk mengawal anak masing-masing dalam penggunaan teknologi maklumat," katanya.

Ahmad Shabery berkata, isu berkaitan kanak-kanak perlu diberi perhatian bagi memastikan golongan itu tidak dieksploitasi untuk keuntungan teknologi maklumat serta dapat dibangunkan sebagai modal insan yang bermutu pada masa hadapan.

- BERNAMA

Berita Harian X