Jumaat, 12 September 2014 | 12:47pm

Tarmizi Selamat diisytihar pemangku Undang Luak Jelebu

PENGHULU Mukim Lenggeng, Datuk Menteri Sah Mangku Alam Sehari, Tarmizi Selamat membaca watikah pelantikan sebagai Pemangku Undang Luak Jelebu. - Foto BERNAMA
PENGHULU Mukim Lenggeng, Datuk Menteri Sah Mangku Alam Sehari, Tarmizi Selamat membaca watikah pelantikan sebagai Pemangku Undang Luak Jelebu. - Foto BERNAMA

KUALA KLAWANG: Pemegang Tali Pesaka Waris Berundang Luak Jelebu, Datuk Ombi Pangkal Maharaja Lela Kadim Kidam, mengisytiharkan Penghulu Mukim Lenggeng, Datuk Menteri Sah Mangku Alam Raja Sehari, Tarmizi Selamat sebagai pemangku Undang Luak.

Pengisytiharan itu dibuat berikutan kematian Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Musa Wahab, 77, yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) pada kira-kira 7.30 malam semalam.

Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berada di rumahnya di Gedong Lalang, Ampangan di sini.

Jenazah dibawa ke Balai Undang Luak Jelebu (kediaman rasmi) di Kuala Klawang dan akan dikebumi selepas solat Jumaat, hari ini.

Sementara itu, jenazah Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Musa Wahab, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 4 Simpang Gelami, Peradong di sini, jam 3 petang tadi.

Jenazah Undang Luak Jelebu ke-15 itu di bawa ke Balai Undang Jelebu hari ini, untuk upacara penghormatan terakhir dan solat jenazah di Masjid Kampung Simpang Gelami selepas solat Jumaat.

Allahyarham kemudian dikebumikan di sebelah kubur isterinya, Tok Puan Manoriah Ahmad Bidawi.

Berita Harian X