Rabu, 24 September 2014 | 4:54pm
Datuk Mohammad Mentek. - Foto Fail NSTP/Edmund Samunting
Datuk Mohammad Mentek. - Foto Fail NSTP/Edmund Samunting

Bekas KP ESSCOM dilantik Setiausaha Bahagian Kementerian Pendidikan

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek dilantik sebagai Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pendidikan di Putrajaya berkuat kuasa 1 Oktober ini.

Beliau yang baru menerima surat pelantikan itu berterima kasih kepada pengurusan tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang jawatan penting itu.

"Ini adalah satu tanggungjawab yang besar dan saya akan berusaha untuk melaksanakan tugas baharu ini dengan sebaik mungkin, terutama memantapkan lagi pengurusan sumber manusia dalam kalangan golongan pendidik atau guru di negara ini," katanya dalam satu kenyataan kepada BERNAMA, di sini, hari ini.

Mohammad yang pernah menjadi guru sandaran sebelum menyertai perkhidmatan awam turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi ESSCOM, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan dan pegawai tertinggi ESSCOM yang memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang setahun lebih bertugas dengan Esscom yang berpangkalan di Lahad Datu.

Mohammad yang juga bekas Pengarah Imigresen Sabah dilantik sebagai Ketua Pengarah Esscom mulai 1 April tahun lalu.

Anak jati Semporna itu berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Statistik) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dari Minnesota University, Amerika Syarikat, menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1992 dan dilantik sebagai Pengarah Imigresen Sabah mulai 14 Ogos 2010. Pada 8 Julai tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penstrukturan semula ESSCOM yang menyaksikan pewujudan dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam.

Najib turut mengumumkan pelantikan Deputi Komisioner Datuk Abdul Rashid Harun yang memegang jawatan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCOM pada ketika itu, sebagai Komander ESSCOM untuk komponen pengurusan keselamatan dan pertahanan manakala bekas Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah Ruji Ubi pula dilantik sebagai Pengarah Awam Esscom.

ESSCOM ditubuhkan susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu awal tahun lalu dan dipertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Zon Selamat Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

ESSZONE meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna. - BERNAMA

Berita Harian X