Jumaat, 10 Oktober 2014 | 7:01pm

Peruntukan besar bolehkan usaha kekalkan keselamatan ESSZONE lebih terancang

TAWAU: Peruntukan RM660 juta bagi memperkukuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan membolehkan usaha mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilaksanakan lebih terancang dan berkesan.

Pengarah Awam ESSCOM, Ruji Ubi berkata peruntukan itu kelak dapat digunakan untuk membeli peralatan keselamatan dan pertahanan, baik pulih pos kawalan, pembinaan kem baharu dan projek infrastruktur yang bertujuan memelihara kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, masyarakat di ESSZONE bertuah kerana diberi perhatian dalam pembangunan terutama berkaitan aspek keselamatan dan pertahanan.

"Oleh itu ESSCOM berharap seluruh penduduk di ESSZONE dapat bersama-sama dengan agensi kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ruji berkata, peruntukan yang besar itu juga membuktikan kesungguhan Kerajaan Pusat untuk memastikan Sabah, khususnya di Esszone, terus aman dan damai.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek berkata peruntukan itu memperlihatkan kesungguhan kerajaan pusat untuk mempertingkatkan serta memantapkan lagi ESSCOM.

"Peruntukan yang sangat besar itu turut memperlihatkan kebijaksanaan Kerajaan Pusat dalam memastikan keamanan dan keharmonian di Sabah terus terjamin," katanya ketika dihubungi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan peruntukan itu dalam pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini, berkata peruntukan itu termasuk penambahan satu batalion Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia dan satu batalion Tentera Darat dengan jumlah anggota baharu yang telah diluluskan seramai 1,280 anggota.

ESSCOM yang ditubuhkan pada 1 April tahun lepas susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, dipertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Esszone.

ESSZONE meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna.

- BERNAMA

Berita Harian X