Sabtu, 18 Oktober 2014 | 7:00pm

ATM pantau anggota pastikan tidak terbabit kegiatan militan

PORT DICKSON: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memantau secara serius setiap anggotanya daripada terjebak dalam perkara negatif dan tidak bermoral termasuk terlibat dengan kegiatan militan.

Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata proses pemantauan itu dibuat sepenuh masa secara berterusan.

"Malah, proses pengambilan perajurit muda, kursus, kenaikan pangkat dan tugasan ke luar negara perlu melalui tapisan yang teliti.

"Setakat ini tidak ada anggota tentera didapati terlibat atau menyertai kegiatan militan," katanya kepada pemberita selepas perbarisan tamat latihan perajurit muda lelaki dan wanita di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim.

Kelmarin polis menahan 14 individu di Shah Alam, Selangor dan Damansara, Kuala Lumpur yang dipercayai dalam persiapan untuk menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria.

Dalam perkembangan lain, Raja Mohamed Affandi berkata ATM meletakkan anggota dan asetnya dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam termasuk banjir.

Katanya, ATM mampu menggerakkan jumlah anggota yang mencukupi dalam setiap operasi menyelamat dan memindahkan mangsa mengikut keperluan dan keluasan kawasan banjir terlibat.

"Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin telah membuat lawatan ke tempat-tempat yang kita jangkakan berlaku banjir dan arahan yang dikeluarkan...jika berlaku banjir, kita akan segera memberi bantuan selaku responder pertama," katanya.

Sebanyak 1,477 perajurit lelaki dan 29 perajurit wanita menamatkan latihan enam bulan mereka bagi sesi kali ini.

Mohd Tarmizi Hashim menerima anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik, manakala Norashikin Mazlan (Perajurit Muda Akademik Terbaik), Mohd Najdi Muhammad (Perajurit Muda Kawad Terbaik), Kriner anak Seris (Perajurit Muda Jasmani Terbaik) dan Muhammad Asyraf Hazwan Muhammad Ridhwan Teh (Perajurit Muda Penembak Terbaik).

- BERNAMA

Berita Harian X