Rabu, 1 Oktober 2014 | 3:23pm

844 anggota MALBATT dianugerah pingat PNBB

PEMANGKU Panglima Angkatan Tentera dan juga Panglima Tentera Darat, Janeral Tan Seri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memakaikan pingat PNBB kepada wakil tentera pada majlis penanggalan beret, pemakaian pingat PNBB dan perbarisan pembuburan Malbatt 850 - 1 di Padang kawad PUSASDA, Port Dickson. - Foto Hazreen Mohamad
PEMANGKU Panglima Angkatan Tentera dan juga Panglima Tentera Darat, Janeral Tan Seri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memakaikan pingat PNBB kepada wakil tentera pada majlis penanggalan beret, pemakaian pingat PNBB dan perbarisan pembuburan Malbatt 850 - 1 di Padang kawad PUSASDA, Port Dickson. - Foto Hazreen Mohamad

PORT DICKSON: Seramai 844 anggota pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) yang menjalankan misi Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) hari ini dianugerah pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB).

Mereka terdiri daripada 76 pegawai dan 768 anggota lain-lain pangkat pasukan Malbatt 850-1 diketuai Kol Arman Rumaizi Ahmad.

Seramai empat pegawai dan 18 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei turut menerima anugerah itu.

Anugerah itu bagi mengiktiraf kejayaan pasukan berkenaan menjalankan misi UNIFIL di Lubnan selama 12 bulan mulai 26 Oktober 2011.

Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, menyampaikan anugerah itu yang diadakan sempena perbarisan pembubaran Malbatt 850-1 dan upacara menanggalkan beret biru PBB di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini.

Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Raja Mohamed Affandi berkata keupayaan tentera Malaysia dalam menjalankan tugas di negara itu diakui UNIFIL.

Katanya, walaupun terdapat perbezaan budaya, penerimaan penduduk di sana terhadap tentera Malaysia begitu tinggi sekali dan ini memudahkan mereka menjalankan tugas.

"Tetapi apa yang penting adalah tahap kesiapsiagaan anggota MALBATT 850-1 mampu menangani apa juga masalah yang berlaku di sana. Kerjasama dengan penduduk tempatan di sana di tahap yang terbaik dan saya kagum dan bangga dengan kejayaan itu.

"Sewaktu saya pergi dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sambutan mereka di luar jangkaan. Malah apabila kereta menteri berhenti dan menteri keluar dari keretanya...penduduk di situ sanggup keluar dari kereta masing-masing untuk menerima kehadiran menteri pertahanan kita.

"Justeru, saya rasa tentera kita adalah orang yang terbaik kerana mampu melaksanakan amanah dengan baik," katanya.

Beliau juga berharap seluruh rakyat Malaysia mendoakan keselamatan tentera Malaysia yang sedang bertugas di negara itu kerana pergolakan kini semakin memuncak.

- BERNAMA

Berita Harian X