Isnin, 3 November 2014 | 10:09am

Insiden kebocoran soalan peperiksaan tidak akan berulang - Muhyiddin

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa meninjau keadaan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas, Bukit Kiara, hari ini. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis insiden kebocoran soalan yang berlaku ketika peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR ) tempoh hari tidak akan berlaku sepanjang tempoh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, kementerian sudah mengambil langkah drastik bagi mengekang sebarang insiden kebocoran kertas peperiksaan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua 562 bilik kebal di seluruh negara.

"Mudah-mudahan tidak berlaku. Selepas insiden tempoh hari (kebocoran soalan UPSR), terdapat beberapa langkah segera sudah diambil... semua bilik kebal sudah dipasang dengan CCTV.

"Kawalan keselamatan juga diperketatkan termasuk cara-cara kertas soalan disediakan... ia dimasukkan dalam bungkusan tertentu dan dengan adanya thumb print (cop jari), kita dapat mengenal pasti kebocoran berlaku di setiap aliran dan perjalanan kertas soalan," katanya selepas mengadakan lawatan dan meninjau persediaan hari pertama peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kiaramas di sini, sebentar tadi.

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) meluangkan masa meninjau keadaan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas, Bukit Kiara, hari ini. - Foto Yazit Razali

Muhyiddin juga berharap dengan adanya bantuan kawalan keselamatan daripada pihak polis semasa penghantaran kertas peperiksaan ke setiap sekolah yang terbabit, isu mengenai kebocoran kertas peperiksaan tidak akan berulang lagi.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan selamat menduduki peperiksaan SPM kepada semua calon di seluruh negara dan berharap semua calon dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik dan cemerlang.

Seramai 455,839 calon akan mengambil peperiksaan SPM tahun ini membabitkan 3,655 pusat peperiksaan dengan 29,607 petugas ditempatkan di seluruh negara.

Peperiksaan SPM yang dimulakan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu hari ini akan berakhir pada 3 November ini.

Berita Harian X