Isnin, 10 November 2014 | 7:12pm

Lebih 1,000 golongan transgender berjaya dipulihkan menerusi program Mukhayam

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 orang golongan transgender berjaya meninggalkan aktiviti songsang mereka menerusi program Mukhayam yang ditawarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak tahun 2010.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, program dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) itu memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada golongan yang mengalami masalah kecelaruan gender seperti kesedaran mengenai HIV, mengurangkan stigma dua pihak dan pengukuhan kerjaya serta diri ke arah yang lebih baik.

"Malah kesan selepas mengikuti program yang JAKIM tawarkan, mereka meneruskan program kerohanian atas inisiatif mereka sendiri dengan bantuan dari Jabatan Agama Islam Negeri termasuklah ada antara mereka yang telahpun menunaikan umrah dan haji.

"Apa yang lebih penting mereka telah meninggalkan aktiviti songsang malah turut membantu JAKIM untuk meneruskan aktiviti pemulihan kerohanian kepada rakan-rakan yang senasib dengan mereka," katanya.

Othman berkata, jabatan itu sangat terharu dengan maklum balas yang diterima dan berharap JAKIM serta JAIN akan terus menjadi rujukan kepada peserta yang pernah menyertai program berkenaan.

"Saya berbesar hati untuk mengajak lebih ramai golongan sasaran mencuba program yang JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri tawarkan ini," katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Mukhayam, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM di talian 03-88864000.

Sehubungan itu, beliau turut meminta tiga jurumekap pengantin, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis; 26, Syukor Jani; 28, dan Wan Fairol Wan Ismail; 30, supaya menghubungi JAKIM dan sukarela menyertai program yang dianjurkan itu.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh tiga jurumekap pengantin itu untuk mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel tiga hakim mahkamah berkenaan memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 adalah tidak sah di sisi perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Berita Harian X