Selasa, 11 November 2014 | 4:13pm

PAC minta tadbir urus Jabatan Penyiaran diperbaiki

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) tadbir urus Jabatan Penyiaran sebagai persediaan pengkorporatan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), PAC mendapati KKMM gagal menguruskan projek pembangunan kandungan penyiaran digital mengikut prosedur yang ditetapkan pihak Perbendaharaan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Berdasarkan LTAN perbelanjaan untuk pembelian program RTM1 dan RTM2 yang bernilai RM43.7 juta pada 2011 hingga 2013 adalah di luar skop projek tanpa mendapat kelulusan EPU dan Perbendaharaan.

"Malah pembelian program TV Interaktif (TVi) berjumlah RM111.83 juta melebihi peruntukan asal sebanyak RM21 juta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen di sini, sebentar tadi.

Nur Jazlan turut menegur kegagalan pihak RTM mendaftarkan lebih 300 program yang diterbitkan agensi penyiaran itu sebagai harta modal kerajaan.

Beliau berkata, dalam dunia teknologi ketika ini pendaftaran harta intelek yang terbitkan adalah sangat kerana ia akan menjadi aset kepada kerajaan.

Berita Harian X