Jumaat, 14 November 2014 | 4:24pm

Banjir: FAMA jamin bekalan makanan mencukupi

ARAU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan makanan pada musim banjir mencukupi untuk keperluan rakyat melalui stok simpanan di bawah peruntukan khas yang disediakan kerajaan.

Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin, berkata sekiranya stok bekalan di negeri yang dilanda banjir tidak mencukupi, bekalan makanan akan diambil daripada stok simpanan di negeri yang tidak terjejas banjir.

Beliau berkata, sekiranya bekalan daripada stok simpanan masih tidak mencukupi, kerajaan akan mengimportnya.

Badruddin berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Kelab Myagrosis Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di sini hari ini. Pada majlis itu bantuan RM155,000 disampaikan bagi pelaksanaan projek Agroniaga, Agroladang dan Akuakultur di kawasan kampus itu.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperkenalkan Kelab Myagrosis pada 2011 di semua institusi pengajian tinggi awam seluruh negara untuk menggalakkan mahasiswa menceburi bidang pertanian.

Sementara itu, di KOTA BAHARU, Pengarah FAMA Kelantan, Wan Abdullah Wan Chik berkata pihaknya telah bersiap sedia dengan pelbagai inisiatif dalam memastikan bekalan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging dan ayam mencukupi pada musim banjir.

"Kita ada pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan seperti di tanah tinggi Lojing (Kelantan) dan Cameron Highlands di Pahang, jadi penduduk negeri ini tidak perlu risau mengenai bekalan makanan," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bubur As-syura kepada pengunjung di Pasar Tani Pasir Tumboh di sini.

Beliau juga berkata, selain Pasar Tani yang terdapat di seluruh negeri ini, orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan harian di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong.

Beliau berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, nilai jualan di 35 pasar tani membabitkan 1,707 peniaga di seluruh Kelantan adalah sebanyak RM13.9 juta dan pihaknya yakin mencapai sasaran nilai jualan RM20 juta ditetapkan untuk tahun ini.

- BERNAMA

Berita Harian X