Isnin, 17 November 2014 | 8:13pm

Syor laksana visa percuma kepada pelancong China - Nazri

MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz. - Foto Shiraz Ali
MENTERI Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kini sedang memperhalusi cadangan untuk melaksanakan sistem visa percuma kepada pelancong China sebagai usaha menarik kehadiran mereka ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, berkata cadangan berkenaan yang kini sudah dilaksana di beberapa negara ASEAN itu sedang diteliti dan dibincang bersama Kementerian Dalam Negeri.

"Bagaimanapun langkah ini hanya dapat diputuskan kerajaan selepas kajian keselamatan dilakukan terlebih dulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2015 peringkat jawatankuasa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Mohamad Nazri berkata, Malaysia perlu memenangi kembali hati masyarakat China berikutan jangkaan lebih 100 juta pelancong negara itu akan melancong pada tahun depan.

Beliau mengakui, kehadiran pelancong dari China dan Taiwan sedikit menurun, malah berhadapan detik sukar antara April hingga Jun tahun ini apabila banyak tempahan pelancong dari negara terbabit dibatalkan berikutan insiden menimpa pesawat Malaysia Airlines, MH370.

"Tahun ini saja, kira-kira 80 juta pelancong China mengunjungi negara luar dan setakat ini, kita sudah menerima ketibaan 1.4 juta pelancong daripada negara itu. Pelbagai usaha sedang dilakukan bagi menarik keyakinan pelancong China ke Malaysia," katanya.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas menjelaskan negara rantau ini juga bersaing secara sihat di peringkat antarabangsa bagi menarik kehadiran pelancong termasuk menawarkan pakej lawatan ke Malaysia-Singapura-Thailand.

Berita Harian X