Khamis, 11 Disember 2014 | 8:54pm

Jenazah Koperal Azman Che Soh selamat dikebumikan

KOTA BHARU: Jenazah Koperal Azman Che Soh, 34, yang meninggal dunia Sabtu lalu ketika menjalankan misi Pasukan Pengaman Sementara Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, selamat dikebumikan, sebentar tadi.

Allahyarham yang juga anggota Batalion Malaysia 850-2 (MALBATT 850-2), dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tegayong. Kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga serta pegawai dan anggota tentera hadir pada pengebumian itu.

Allahyarham yang bertugas di Rejimen 11 Gerak khas di Kem Sungai Udang, Melaka, meninggalkan seorang isteri, Fatimah Senik, 32, dan tiga anak terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki berusia antara 3 hingga 7 tahun.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lubnan, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Jenazah Allahyarham kemudian di bawa ke Pangkalan Udara TUDM Subang sebelum diterbangkan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Berita Harian X