Selasa, 23 Disember 2014 | 10:27am

PT3 tumpu Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

PT3 berbeza dengan PMR dari segi pentadbiran peperiksaan dan pentaksiran. - Foto Khairull Azry Bidin
PT3 berbeza dengan PMR dari segi pentadbiran peperiksaan dan pentaksiran. - Foto Khairull Azry Bidin

PUTRAJAYA: Keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) wajar dilihat sebagai data garis dasar (baseline data) baharu terhadap penilaian pencapaian murid yang lebih dinamik dan menyeluruh.

Justeru, tidak sewajarnya ada perbandingan keputusan PT3 yang diumumkan semalam dengan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana PT3 menekankan konsep pentaksiran pusat serta penerapan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kertas peperiksaannya.

Selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025, penerapan soalan KBAT sebanyak 40 peratus dalam PT3 berjaya menjana pemikiran murid supaya tidak hanya berorientasikan teori yang diajar di sekolah.

PT3, PMR berbeza

Ketua Sektor Pengurusan Dasar dan Perkembangan Lembaga Peperiksaan (LP), Norzila Mohd Yusof, berkata PT3 yang mula diperkenalkan tahun ini juga berbeza daripada PMR daripada segi pentadbiran peperiksaan.

Jika sebelum ini, pengendalian dan penskoran PMR dikendalikan sepenuhnya oleh LP, PT3 pula membabitkan penskoran yang dilakukan sendiri oleh guru di sekolah tetapi berdasarkan kepada panduan peraturan penskoran yang disediakan oleh LP supaya ia menepati standard peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Dalam PT3, kertas jawapan setiap mata pelajaran yang sudah diperiksa oleh guru akan dihantar kepada LP untuk penggredan, sama ada A, B dan seterusnya.

Tiga komponen PBS

Sekolah akan mencetak laporan penilaian murid dan mengumumkan keputusan PT3 di sekolah masing-masing.

"PMR dan PT3 adalah dua peperiksaan dalam bentuk penampilan dan pengendalian yang berbeza, di mana PT3 adalah Pentaksiran Pusat, iaitu satu daripada komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

"Tiga komponen PBS lagi ialah Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Psikometrik, serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum," katanya.

Dalam PT3, skop instrumen (kertas peperiksaan) masih mengukur kandungan mata pelajaran daripada Tingkatan Satu hingga Tiga, tetapi perubahan terarah kepada ciri item (soalan) yang mengandungi elemen KBAT bagi menjana minda murid. 

Katanya, kerja kursus dan ujian bertulis yang menjadi sebahagian penilaian PMR kini ditukar kepada penggunaan soalan yang lebih mencabar bagi melihat penguasaan murid melalui pelbagai cara serta kaedah persembahan item.

Instrumen Pentaksiran berbeza

"Contohnya, mata pelajaran Sejarah dan Geografi, apabila PMR diubah kepada PT3, pentaksirannya berbeza kerana tiada lagi ujian objektif yang item bentuk aneka pilihan sebaliknya pada tahun ini instrumennya ialah kajian kes yang memerlukan murid membuat kajian berdasarkan data dan maklumat dan seterusnya membuat laporan.

Bagi mata pelajaran yang menggunakan ujian bertulis seperti Mathematics dan Science, jenis item ialah respon terhad, respon terbuka, berstruktur dan juga objektif pelbagai bentuk seperti padanan, betul-salah dan mengisi tempat kosong.

"Murid juga diperkenalkan dengan ujian lisan untuk bahasa Melayu dan bahasa Inggeris," katanya.

Uji tahap pemikiran

Sehubungan dengan itu, katanya, murid akan menerima stimulus atau rangsangan dalam menjawab soalan, dan menggunakan stimulus itu untuk menjana pemikiran mereka mengikut pelbagai aras kognitif.

"Murid juga diberikan konteks baharu dan berkait rapat dengan situasi sebenar dalam kehidupan harian supaya masalah diselesaikan berdasarkan pengetahuan yang diperoleh dari sekolah," katanya.

Selain itu, menurut Norzila juga, laporan ujian psikometrik yang diterima sebagai satu

daripada laporan di peringkat menengah rendah dapat memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai kekuatan, minat dan kecenderungan murid sebelum mereka menempuh alam pekerjaan.

Berita Harian X