Rabu, 24 Disember 2014 | 4:56pm
PELAJAR sekolah tingkatan tiga ketika mengambil keputusan PT3 buat pertama kali selepas menggantikan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad
PELAJAR sekolah tingkatan tiga ketika mengambil keputusan PT3 buat pertama kali selepas menggantikan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Infant Jesus Convent, Melaka. - Foto Rasul Azli Samad

Keputusan PT3 tidak boleh dibandingkan dengan PMR - KP Pelajaran

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menegaskan keputusan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini tidak boleh dibandingkan dengan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini kerana format dan instrumen digunakan adalah berbeza.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, berkata struktur soalan PT3 berbentuk subjektif, berbeza dengan PMR yang berbentuk objektif (aneka pilihan).

Struktur baharu ini katanya memerlukan pelajar menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan benar-benar memahami sukatan pelajaran berbanding soalan objektif yang hanya memerlukan pelajar menghafal untuk memperoleh keputusan cemerlang.

"Nisbah aras kesukaran soalan juga adalah berbeza, iaitu PT3: 3:4:3 (rendah : sederhana : sukar), manakala PMR: 5:3:2 (rendah : sederhana : sukar).

"Kaedah penggredan juga berbeza iaitu penggredan PT3 ditetapkan berdasarkan penetapan standard (kriteria tertentu mengikut mata pelajaran) dan penggredan PMR adalah berdasarkan penentuan standard (gred ditetapkan mengikut prestasi keseluruhan calon)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khair berkata, pelajar yang menduduki PT3 mulai tahun ini ditaksir melalui empat komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Katanya, keputusan PT3 juga tidak menjejaskan kemasukan murid ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan ke aliran sains atau sastera.

"Pemilihan ke aliran terbabit dibuat bukan saja berdasarkan keputusan PT3, tetapi juga mengambil kira pelaporan keempat-empat komponen PBS," katanya.

Khair berkata, pihaknya ingin menegaskan, soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang dinyatakan sebagai penyebab kemerosotan pencapaian murid adalah tidak benar, kerana soalan KBAT menggalakkan calon berfikir secara kreatif dan kritis .

Selain itu, katanya Lembaga Peperiksaan (LP) juga amat mementingkan kesahan dan kebolehpercayaan skor.

"Untuk memastikan ketekalan pemeriksaan oleh guru, LP menyediakan panduan penskoran setara, melatih guru untuk memeriksa skrip jawapan calon, serta melantik pentaksir luar yang berkecuali untuk menjalankan moderasi pemeriksaan dan verifikasi skor calon," katanya.

Beliau juga menjelaskan kementeriannya sudah memberi makluman mengenai empat komponen PBS kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) dan pihak sekolah sejak tahun 2012 lagi.

"Manakala makluman mengenai PBS dan PT3 sekali lagi telah disampaikan kepada PIBG dan pihak sekolah melalui program turun padang Outreach PBS Public Engagement PIBG," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan terus meneliti dan mengambil tindakan wajar untuk memperbaiki sebarang kelemahan dengan mengambil kira pandangan dan input semua pihak demi memastikan pelajar mendapat pendidikan yang terbaik.

Berita Harian X