Selasa, 30 Disember 2014 | 10:21am
PENGUSAHA kedai makan, Hishamudin Razali, 55, memindahkan pakaian dan barangan keperluan diri setelah paras air Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi semakin meningkat dan menenggelamkan kedai makannya hampir 3 meter. - Foto BERNAMA
PENGUSAHA kedai makan, Hishamudin Razali, 55, memindahkan pakaian dan barangan keperluan diri setelah paras air Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi semakin meningkat dan menenggelamkan kedai makannya hampir 3 meter. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir di 4 daerah di Terengganu berkurangan

TINJAUAN di Pengkalan Gawi hari ini mendapati taman permainan kanak-kanak turut ditenggelami air setelah paras air Tasik Kenyir di Terengganu semakin meningkat akibat hujan yang berterusan sejak minggu lepas. - Foto BERNAMA
TINJAUAN di Pengkalan Gawi hari ini mendapati taman permainan kanak-kanak turut ditenggelami air setelah paras air Tasik Kenyir di Terengganu semakin meningkat akibat hujan yang berterusan sejak minggu lepas. - Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di negeri ini semakin berkurangan dengan empat daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu masih kekal dilanda bencana itu.

Mengikut laporan Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu, setakat jam 9.27 pagi ini seramai 25,775 mangsa daripada 6,218 keluarga dipindahkan ke 66 pusat pemindahan di seluruh negeri.

Kemaman kekal paling ramai namun mencatatkan penurunan iaitu seramai 15,918 mangsa daripada 3,613 keluarga berada di 29 pusat pemindahan.

Di Dungun seramai 9,507 mangsa membabitkan 2,512 keluarga berada Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu 29 pusat pemindahan.

Selain itu, mangsa di pusat pemindahan di Kuala Terengganu berkurangan apabila seramai 276 mangsa membabitkan 75 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan manakala banjir di Hulu Terengganu semakin reda apabila hanya 74 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan.

Sementara itu, mengikut laporan Bahagian Hidrologi Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, hanya Sungai Dungun di Jambatan Jerangau mencatatkan bacaan 12.74 meter melebihi paras bahaya 12.50 meter.

Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, setakat jam 8 pagi dua laluan di jalan Kuantan - Kuala Terengganu di Kampung Nyoir dinaiki air sedalam 0.4 meter, ditutup kepada Kenderaan ringan; Kuala Jengai - Jongok Batu jalan mendap ditutup kepada semua kenderaan; AMBS - Pasir Raja berhampiran Kampung Shukor jalan runtuh dan Pasir Raja berhampiran Kampung Shukor jalan putus, ditutup untuk semua kenderaan.

Laluan bagi daerah Kemaman, jalan Chukai-Air Putih di Simpang Felda Seberang Tayur air sedalam 0.3 meter ditutup kepada kenderaan ringan; jalan Chukai-Air Putih di Kampung Pasir Gajah air sedalam 0.9 meter ditutup kepada semua kenderaan; jalan Chukai-Air Putih di Kampung Pasir Gajah (0.3m) ditutup kepada kenderaan ringan; Jalan Chukai-Air Putih di Sungai Pinang (0.6m) ditutup kepada semua kenderaan.

Selain itu, jalan Chukai-Air Putih di Kampung Paman (0.8m) ditutup kepada semua kenderaan; jalan Mak Lagam di Kampung Mak Lagam (0.4m) ditutup kepada kenderaan ringan; jalan Chukai-Air Putih di Bukit Bacang Setahun jalan putus ditutup kepada semua kenderaan.

Jalan Jerangau - Jabor boleh dilalui dari Jabor ke Bukit Besi dan tiada jalan yang ditutup akibat banjir manakala Laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Bukit Besi -Ajil sudah dibuka untuk lalulintas.

Berita Harian X