Khamis, 1 Januari 2015 | 3:26pm

PPj hantar misi bantuan banjir kali kedua ke Kelantan

PENDUDUK KAmpung Manek Urai Lama berkongsi bekalan telor yang diberi oleh orang ramai yang bermurah hati menghantar bantuan ke kawasan yang terjejas teruk di Kampung Manek Urai Lama. - Foto Fathil Asri
PENDUDUK KAmpung Manek Urai Lama berkongsi bekalan telor yang diberi oleh orang ramai yang bermurah hati menghantar bantuan ke kawasan yang terjejas teruk di Kampung Manek Urai Lama. - Foto Fathil Asri

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 tan bantuan berbentuk makanan dan barangan keperluan lain untuk mangsa banjir dihantar hari ini oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi Misi Amal Bantuan Banjir Pantai Timur.

Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat, berkata pihaknya akan menghantar teru sbarangan berkenaan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Machang 2 yang dijadikan sebagai pusat pemindahan kepada mangsa banjir.

Ini adalah misi kali kedua diadakan selepas penghantaran barangan dan makanan keperluan sebanyak 12 tan yang dihantar ke Gua Musang dan Kuala Krai, Isnin lalu.

"Bantuan barangan dan makanan keperluan ini adalah hasil sumbangan daripada penduduk Putrajaya yang prihatin dengan masalah menimpa mangsa banjir di negeri berkenaan.

"Menerusi sumbangan ini juga menunjukkan penduduk Putrajaya memahami masalah dihadapi mangsa berikutan banjir ini selain berdoa mereka diberikan ketabahan menghadapi ujian ini," katanya pada sidang media pelepasan Misi Amal Bantuan Banjir Pantai Timur di sini, hari ini. Bantuan berkenaan dihantar menggunakan dua lori selain tiga van dan satu kenderaan pacuan empat roda.

Pelaksanaan misi itu adalah anjuran PPj dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Putrajaya dan sukarelawan terdiri daripada penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sebanyak 80 sukarelawan menyertai misi bantuan kali ini membabitkan kakitangan PPj, wakil penduduk serta pelajar UPM.

Aseh berkata, misi berkenaan akan diadakan secara berterusan bagi membantu mangsa banjir di negara ini.

"Kita mengambil langkah ini untuk terus membantu mangsa banjir dan diharap misi ini menjadi contoh teladan kepada pihak lain," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X