Jumaat, 9 Januari 2015 | 10:11pm

Malaysia di tempat kedua dalam keupayaan inovasi IP serantau

Gambar fail, Pegawai Program Kanan dari Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), Peter Willimott ketika berucap di Persekutuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Singapura (SITF), pada tahun lalu.
Gambar fail, Pegawai Program Kanan dari Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), Peter Willimott ketika berucap di Persekutuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Singapura (SITF), pada tahun lalu.

SINGAPURA: Malaysia berada di tempat kedua dalam kalangan negara serantau dalam paras prestasi dan keupayaan inovasi, kata Pegawai Program Kanan dari Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO), Peter Willimott.

Willimott berkata, setiap tahun, pertubuhan itu akan bekerjasama dengan Universiti Cornell dan sekolah perniagaan, INSEAD untuk menerbitkan Indeks Inovasi Global.

"Penerbitan ini mengiktiraf peranan utama inovasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan. Ia bertujuan menguasai aspek pelbagai dimensi inovasi untuk dipakai dalam ekonomi membangun dan maju.

"Ia melihat kepada profil 143 negara dan menilaikan keupayaan inovasi setiap satu negara, keputusan berdasarkan 81 jadual data untuk petunjuk daripada lebih 30 sumber swasta dan antarabangsa" katanya.

Willimott berkata, secara keseluruhan, Malaysia berada pada kedudukan ke-33 global dan kedua tertinggi di kalangan negara-negara ASEAN.

Malaysia memiliki kelebihan dalam beberapa bidang seperti graduan dalam kejuruteraan dan sains, fasiliti pinjaman yang tidak cerewet (tempat pertama dalam senarai dunia), kemudahan perlindungan bagi para pelabur, permodalan pasaran sebagai peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), import berteknologi tinggi, pengimportan semula yang kurang dan peratus keseluruhan perdagangan yang terdiri daripada eksport barangan kreatif.

"Kelemahannya pula, termasuklah kos pemecatan yang berlebihan, tahap pendaftaran cap dagangan, KDNK/penggunaan unit tenaga dan bacaan, keputusan sains dan matematik pada tahap pengukuran (berusia 15 tahun)," katanya.

Willimott berkata, WIPO bekerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi membantu membangunkan beberapa aspek dalam harta intelektual (IP).

MyIPO memiliki inisiatif yang menggalakkan dalam mencipta kesedaran IP seperti kaji selidik kesedaran IP dalam talian, opsyen pemfailan IP dalam talian, kaunter perkhidmatan pelanggan dan video bagi membantu pemilik perniagaan Malaysia yang mahu menggunakan khidmat MyIPO.

Beliau ketika mengulas mengenai kemajuan aktiviti pemfailan paten, berkata data terkini menunjukkan aktiviti pemfailan melalui WIPO telah memecah rekod di mana permohonan pemfailan paten antarabangsa tahunan telah melebihi paras 200,000 untuk pertama kali.

"Cap dagang antarabangsa (46,829 permohonan dalam 2013) dan pemfailan reka bentuk industri (2,990 pemfailan dalam 2013) juga menjadi rekod.

"Penggunaan data 2014 turut dijangka sangat tinggi," katanya.

WIPO adalah forum global untuk dasar harta intelektual, perkhidmatan, maklumat dan kerjasama.

- BERNAMA

Berita Harian X