X
Jumaat, 16 Januari 2015 | 11:31am

Muhyiddin umum penubuhan MINDA UKM

 TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA : Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA) Universiti Kebangsaan Malaysia yang akan menjalankan kajian khusus untuk menangani isu ketidaksamaan sosial dan ekonomi dalam masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan berkata, institut itu akan memberi penekanan dan fokus kepada isu berkaitan pembangunan dan kemajuan ekonomi yang bersifat insklusif serta mengecilkan jurang pendapatan rakyat.

"Saya percaya pertumbuhan ekonomi saja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat.

"Dalam konteks ini, jurang pendapatan yang masih wujud di negara kita perlu ditangani dengan berkesan untuk memastikan Malaysia terus kekal stabil dan harmoni," katanya.

Justeru itu, Muhyiddin berharap institut pendidikan di negara ini dapat memainkan peranan yang penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara disertai dengan pembahagian kekayaan yang adil dan saksama.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Berita Harian X