Ahad, 25 Januari 2015 | 5:18pm
KERATAN akhbar Berita Harian hari ini.
KERATAN akhbar Berita Harian hari ini.

Hukum ibu bapa rotan anak: Wanita Umno desak kerajaan kaji mendalam

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO mendesak kerajaan meneliti dengan lebih mendalam serta tidak terburu-buru untuk menggubal rang undang-undang baharu yang antaranya memasukkan hukuman kepada ibu bapa yang merotan anak mereka.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pihaknya berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah mengadakan rundingan khusus dengan semua pihak yang berkepentingan seperti Persatuan Ibu Bapa, pakar psikologi, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pakar yang berkenaan sebelum keputusan menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 dibuat.

"Wanita UMNO mempertahankan hak kanak-kanak daripada sebarang bentuk penganiayaan, pengabaian, penderaan dan keganasan.

"Namun begitu, pindaan ini perlu diteliti dengan lebih mendalam serta meminta supaya pihak kerajaan tidak tergesa-gesa untuk menggubal rang undang-undang baharu yang bakal menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.

"Saya berpandangan walaupun Malaysia adalah negara anggota Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kerajaan tidak perlu tergesa-gesa dalam melaksanakan obligasinya supaya kepentingan terbaik kanak-kanak serta keluarga mereka turut diambil kira, selaras dengan acuan kita sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengumumkan akan menggubal akta baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun depan, dengan memasukkan hukuman terhadap ibu bapa yang merotan anak mereka.

Sementara itu, Shahrizat berkata, CRC yang diratifikasikan oleh Malaysia pada tahun 1995, menyatakan bahawa kerajaan perlu mengambil segala langkah perundangan dan pentadbiran sewajarnya untuk melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk penganiayaan oleh ibu bapa atau pihak lain yang bertanggungjawab menjaga mereka.

"Namun, Artikel 5 dan 18 CRC turut menyatakan negara pihak menggunakan usaha terbaik untuk memastikan pengiktirafan prinsip bahawa kedua ibu bapa mempunyai tanggungjawab utama bagi didikan dan perkembangan kanak-kanak, selaras dengan adat tempatan.

"Dalam hal ini, ibu bapa perlu diberi ruang untuk mendisiplinkan anak-anak mereka, tetapi tidak sehingga peringkat mendera.

"Saya merujuk kepada keputusan menjatuhkan hukuman ke atas ibu bapa yang merotan anak mereka (seperti kes Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshaldi di Switzerland pada tahun 2014) boleh membawa kepada pemisahan sementara antara kanak-kanak dengan ibu bapa mereka.

"Ada pihak yang menyatakan bahawa perkara ini mungkin bercanggah dengan Artikel 9 CRC yang menyatakan bahawa kanak-kanak tidak boleh dipisahkan daripada ibu bapanya tanpa kerelaannya," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Wanita UMNO mendesak supaya Jabatan Peguam Negara mengadakan satu pertemuan segera dengan semua pihak berkepentingan termasuk Wanita Barisan Nasional (BN) untuk mendengar penjelasan dan maklum balas mengenai kesan terhadap pindaan undang-undang yang akan dilakukan.

Berita Harian X