Jumaat, 27 March 2015 | 4:57pm
NAJIB bersama Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang ketika tiba di Lapangan Terbang Meilan di Haikou untuk ke Boao sempena Persidangan Tahunan 'Boao Forum For Asia' 2015. - Foto BERNAMA
NAJIB bersama Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang ketika tiba di Lapangan Terbang Meilan di Haikou untuk ke Boao sempena Persidangan Tahunan 'Boao Forum For Asia' 2015. - Foto BERNAMA

Najib tiba di China hadiri Forum Boao Untuk Asia

[email protected]

BOAO (Hainan, China): Datuk Seri Najib Razak yang menghadiri Forum Boao Asia (BFA) 2015 di sini, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Meilan Haikou pada jam 4 petang waktu tempatan, hari ini.

Perdana Menteri disambut oleh Naib Gabenor Hainan, Lu Chunhua dan Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang serta Duta Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya dan Konsul Jeneral Malaysia ke Guangzhou, Muzambli Markam.

Najib bersama rombongan kemudian menuju ke stesen kereta api Meilan bersebelahan lapangan terbang berkenaan, sebelum berlepas menaiki kereta api laju khas ke stesen Boao yang mengambil masa 47 minit.

Sebaik tiba di stesen berkenaan, Perdana Menteri menaiki kereta ke penginapan rasmi di hotel Golden Coast Hot Spring Boao. Beliau kemudian mengadakan mesyuarat dengan perwakilan Malaysia sebelum ke Rumah Tetamu Negara Boao.

Najib yang menghadiri BFA hari ini dan esok, akan mengadakan mesyuarat dengan Presiden China, Xi Jinping yang turut disertai Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting; Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim dan Zainuddin serta tiga lagi.

Sebaik mesyuarat dua hala kira-kira 30 minit selesai, Perdana Menteri dan rombongan akan diraikan jamuan makan malam oleh Jinping sebagai penghormatan menghadiri BFA.

Ini adalah lawatan rasmi kelima Najib ke China selaku Perdana Menteri tetapi kali pertama hadir ke forum itu, yang diilhamkan selepas forum tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.

BFA mempunyai alamat tetap di Boao, bandar yang terletak dekat dengan Bandaraya Qionghai di kawasan pantai utara Hainan, China.

Diadakan sejak 2002, tema BFA tahun ini adalah 'Masa Depan Baharu Asia: Ke Arah Masyarakat Hala Tuju Bersama".

Lawatan kerja Najib amat baik bagi hubungan Malaysia dan China kerana ia akan menyediakan peluang untuk meningkat dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama.

Ia juga akan berperanan sebagai platform untuk menonjolkan hala tuju dan agenda ASEAN susulan peranan penting Malaysia dalam perkumpulan serantau itu selaku pengerusi ASEAN 2015.

Berita Harian X