Sabtu, 28 March 2015 | 12:16am

Xi Jinping bagi hadiah istimewa untuk anak Najib

[email protected]

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden China, Xi JinPing ketika hadir bagi mesyuarat dua hala sempena Forum Boao Untuk Asia 2015 (BFA) semalam. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Presiden China, Xi JinPing ketika hadir bagi mesyuarat dua hala sempena Forum Boao Untuk Asia 2015 (BFA) semalam. - Foto BERNAMA

China kini meletakkan Malaysia sebagai keutamaan tertinggi dalam hubungan dua hala kedua-dua negara sejak terjalin empat dekad lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan beliau dengan Xi Jinping, Presiden China itu mahu hubungan kerjasama strategik itu dikembangkan dan dikukuhkan menjadi lebih produktif, sekali gus meningkatkan keberhasilannya.

"Beberapa perkara disentuh dalam pertemuan saya dengan Presiden, antaranya mengembangkan hubungan dagangan Malaysia dan China. Hubungan dagangan kita secara purata berkembang lapan peratus tiap tahun dan beliau berharap jumlah ini terus dapat ditingkatkan.

"Kami juga menyentuh mengenai projek Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan yang diberi keutamaan Presiden China dan beliau juga berpuas hati perkembangan projek kampus pertama Universiti Xiamen di Salak Tinggi, Selangor, " katanya kepada pemberita Malaysia di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting dan Duta Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga menghargai kesudian China memilih Bank of China sebagai bank penjelasan bagi membolehkan Ringgit Malaysia (RM) dan Renminbi (RMB) digunakan dalam perdagangan kedua-dua negara.

Katanya, buat kali pertama kedua-dua negara juga akan mengadakan latihan ketenteraan tidak lama lagi, selain China berminat menyertai projek kereta api laju di Malaysia.

"Dalam pertemuan itu, beliau juga mengucapkan tahniah dua kali kepada saya di atas perkahwinan anak perempuan saya dan beliau memberi hadiah istimewa kepada anak perempuan. Tan Sri Ong Ka Ting bagi tahu saya signifikan hadiah itu dalam masyarakat China yang bermaksud perkahwinan itu bahagia dan berkekalan.

"Hadiah itu set teh porselin dan sulaman khas bulan penuh serta bunga mekar," katanya.

Sementara itu, Jinping menyatakan penghargaan kepada Najib kerana kehadirannya di BFA sekalipun mempunyai jadual sibuk.

Jinping berkata, beliau terharu Perdana Menteri berusaha datang ke Boao, sedangkan majlis perkahwinan anak perempuannya berlangsung hari ini (Sabtu).

"Ini membuktikan komitmen Malaysia untuk menyertai forum itu, serta komitmennya terhadap hubungan bilateral," katanya ketika mesyuarat dengan Najib di Rumah Tetamu Negara Boao.

Jinping juga meraikan Najib dan rombongan jamuan makan malam selepas mesyuarat berkenaan.

Berita Harian X