Rabu, 1 April 2015 | 4:46pm

Permatang Pauh: Mesyuarat khas SPR Rabu depan

PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh akan diadakan pada Rabu depan.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengesahkan SPR sudah menerima makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat berhubung kekosongan kerusi Parlimen itu kira-kira jam 2.30 petang tadi melalui faks.

Antara tarikh yang akan ditentukan dalam mesyuarat itu ialah penamaan calon, pengundian awal, pengundian biasa serta menentukan daftar pemilih bagi PRK selain memutuskan tarikh sebenar kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh bermula.

"Kalau mengikut peraturan, SPR perlu mengadakan mesyuarat tidak awal daripada empat hari dan tidak lebih daripada 10 hari (dari tarikh penerimaan pemakluman notis)," katanya.

Mengikut Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari dari tarikh berlaku kekosongan.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh hari ini berkata Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui keluarga ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Pada 24 Februari lalu, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pandikar Amin, yang menerima surat memaklumkan keputusan petisyen pengampunan diraja itu hari ini, berkata selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan itu, maka Anwar sudah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen pada 16 Mac iaitu sebaik saja petisyen bagi pengampunan diputuskan.

Berita Harian X