Jumaat, 3 April 2015 | 7:07pm
PEMILIK perniagaan yang mendaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya dibenar mengeluarkan invois cukai atau resit bertulis tangan dalam keadaan tertentu sahaja termasuk semasa berlaku masalah teknikal. - Foto STR
PEMILIK perniagaan yang mendaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya dibenar mengeluarkan invois cukai atau resit bertulis tangan dalam keadaan tertentu sahaja termasuk semasa berlaku masalah teknikal. - Foto STR

GST: Resit bertulis tangan hanya jika ada masalah teknikal

KUALA LUMPUR: Pemilik perniagaan yang mendaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya dibenar mengeluarkan invois cukai atau resit bertulis tangan dalam keadaan tertentu sahaja termasuk semasa berlaku masalah teknikal.

Pengarah Bahagian GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk T Subromaniam, berkata kebenaran mengeluarkan resit secara manual itu hanya dibenarkan bagi tempoh sementara sehingga masalah teknikal diselesaikan.

"Sepatutnya memang bercetak. Cuma kadang-kala mesin rosak, sistem tidak berfungsi, atau ketiadaan elektrik. Jadi dalam keadaan itu kita benarkan, (tetapi) secara sementara sahaja.

"Bukan kita bagi kelulusan mengeluarkan resit secara tulis tangan sampai bila-bila," katanya semasa dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas kekeliruan pengguna berhubung pemberian resit dan invois cukai daripada peniaga sama ada dibenarkan secara bertulis atau secara elektronik sahaja.

Subromaniam berkata, resit tulisan tangan itu harus dalam bentuk pracetak yang menyertakan butiran seperti alamat, nama syarikat dan nombor pendaftaran GST.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya memohon resit selepas melakukan pembelian bagi mengelak sebarang masalah.

"Pelanggan nak resit. Jadi peniaga tidak boleh kata mereka tidak boleh keluarkan resit (walaupun jika ada masalah teknikal)," kata Subromaniam.

Malaysia mula melaksanakan GST sejak kelmarin sebagai satu pembaharuan penting dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Pada kadar GST enam peratus - kadar yang paling rendah dalam kalangan negara ASEAN - kerajaan menyasarkan hasil dikutip akan digunakan untuk pembangunan dan meningkatkan infrastruktur sosial rakyat.

- BERNAMA

Berita Harian X