Sabtu, 11 April 2015 | 11:17pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin (tengah) bersama Tuanku Zara Salim (dua dari kanan) berkenaan menyertai program Kayuhan Muhibah Bersama Rakyat di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini, malam ini. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kiri) turut menyertai kayuhan berkenaan. - Foto Farhan Najib

Sultan Perak, Raja Permaisuri sertai Kayuhan Muhibah Bersama Rakyat

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyertai program Kayuhan Muhibah Bersama Rakyat di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini, malam ini.

Baginda berdua turut mengetuai kira-kira 2,000 peserta pada program anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan kerajaan negeri Perak itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta anggota exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan pengamal media turut menyertai kayuhan berkenaan.

Walaupun hujan lebat, baginda berdua bersama peserta berbasikal berjaya menamatkan kayuhan sejauh lapan kilometer di sekitar bandar raya ini.

Program yang diadakan buat pertama kali turut menganjurkan pertandingan basikal hiasan LED yang menawarkan wang tunai sebanyak RM1,000 bagi tempat pertama, tempat kedua RM750 dan RM500 bagi tempat ketiga.

Sementara itu, Setiausaha MBI, Mohd Zakuan Zakaria berkata, program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat berbilang kaum.

"Program ini mencapai matlamat untuk merapatkan hubungan Sultan bersama rakyat dan diharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata program ini diadakan sempena Sambutan Hari Bandar Raya Ipoh pada 27 Mei depan. - BERNAMA

Berita Harian X