Khamis, 23 April 2015 | 11:37pm

20 rumah di Alor Setar rosak dipukul ribut

RANAP... Salah sebuah rumah yang musnah akibat dipukul ribut di Kampung Gerigis, Mukim Tajar petang tadi di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
RANAP... Salah sebuah rumah yang musnah akibat dipukul ribut di Kampung Gerigis, Mukim Tajar petang tadi di sini, hari ini. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Sebanyak 20 buah rumah di sekitar Kampung Gerigis, Mukim Tajar di sini rosak teruk dalam kejadian ribut petang tadi.

Kejadian 4 petang itu turut mengakibatkan sebahagian dinding beberapa rumah tercabut diterbangkan angin kencang.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Halimah Zakaria, 29, berkata semasa kejadian dia berada di dalam rumah sebelum terdengar jeritan suaminya yang berada di luar menyuruhnya berhati-hati kerana melihat bumbung kediamannya bergegar dan mula diterbangkan angin.

"Saya terus membawa anak tunggal yang berusia 8 tahun ke rumah jiran berdekataan untuk mendapatkan perlindungan. Saya sedih melihat rumah pusaka yang berusia 50 tahun yang kami jadikan tempat perlindungan selama ini musnah.

"Selain bumbung dan dinding, peralatan elektrik kepunyaan saya juga rosak terkena air hujan dan ini menyebabkan saya kerugian puluhan ribu ringgit," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Mohd Faisol Che Azmi, 29, yang menetap di Kampung Alor Gandak berkata ketika kejadian dia berada di luar rumah rakannya sebelum melihat gumpalan angin sedang berpusar sebelum disusuli awam hitam.

"Dalam tempoh lima minit sahaja angin telah menerbangkan bahagian bumbung dan dinding beberapa rumah di situ. Saya juga minta rakan untuk berlindung kerana bimbang terkena objek yang diterbangkan angin," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Salleh Taib, berkata laporan akan diberikan kepada Pejabat Daerah Kota Setar dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan semua mangsa mendapat bantuan.

"Kita akan minta supaya pihak tertentu menyalurkan bantuan secepat mungkin bagi meringankan beban mangsa. Ini adalah kali kedua kejadian ribut berlaku dalam tempoh empat bulan tahun ini. Dalam kejadian pertama pada Febuari lalu, ribut telah merosakkan 16 buah rumah," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X