Sabtu, 25 April 2015 | 8:06am

Jalan ke pusat penamaan calon Permatang Pauh ditutup

ANGGOTA polis berpakaian umum memasang kawat wayar berduri menjelang penamaan calon Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, di Institut Kemahiran Belia dan Negara (IKBN), Bukit Mertajam pagi ini. - Foto Mikail Ong
ANGGOTA polis berpakaian umum memasang kawat wayar berduri menjelang penamaan calon Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, di Institut Kemahiran Belia dan Negara (IKBN), Bukit Mertajam pagi ini. - Foto Mikail Ong

BUKIT MERTAJAM: Jalan menuju ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang menjadi pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh di sini, mula ditutup untuk lalu lintas pada jam 7.15 pagi tadi.

Jalan itu ditutup bagi memudahkan perjalanan proses penamaan calon yang dijangka bermula pada jam 9 pagi nanti selain perarakan daripada parti politik yang akan menghantar calon mereka ke pusat penamaan.

BN mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin, 43, sebagai calon manakala PKR menampilkan Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK Permatang Pauh pada hari ini manakala pengundian pada 7 Mei.

Berita Harian X