Sabtu, 25 April 2015 | 10:58pm
MUHYIDDIN melancarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2015 pada Majlis Makan Malam Menteri-Menteri Luar Negeri dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-26 di Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Khairull Azry Bidin
MUHYIDDIN melancarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2015 pada Majlis Makan Malam Menteri-Menteri Luar Negeri dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN Ke-26 di Kuala Lumpur, malam ini. - Foto Khairull Azry Bidin

Syiling peringatan sempena Malaysia Pengerusi ASEAN 2015

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia hari ini mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2015.

Menurut kenyataan Bank Negara, duit syiling itu akan dijual kepada orang ramai bermula 27 April.

Duit syiling itu adalah dalam bentuk Duit Syiling Peringatan Emas Pruf, Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna Pruf dan Duit Syiling Peringatan Emas Nordic.

Nilai muka duit syiling emas ialah RM100 dan akan dijual dengan harga RM1,800 sekeping dan hanya 500 keping sahaja ditempa.

Sementara itu, nilai muka duit syiling perak berwarna ialah RM10 dengan harga jualan RM200 sekeping dan kuantiti ditempa ialah sebanyak 2,000 keping.

Nilai muka duit syiling emas nordic ialah RM1 dan dijual dengan harga RM10 sekeping yang mana sebanyak 25,000 keping ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga boleh didapati dalam 'Set 3 dalam 1' dan 'Set 2 dalam 1' yang mana masing-masing berharga RM2,100 dan RM250, kata Bank Negara.

Tulisan ASEAN 2015 Malaysia tertera pada bahagian atas duit syiling itu manakala tema 'Warga Kita, Komuniti Kita dan Visi Kita' dipaparkan di bahagian bawah duit syiling itu.

Duit syiling itu akan dijual di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dan pejabat wilayah di Pulau Pinang dan Johor Baharu serta cawangan di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

- BERNAMA

Berita Harian X