Isnin, 11 Mei 2015 | 3:19pm
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. -Foto Sairien Nafis
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. -Foto Sairien Nafis

Operasi pesawat Airbus ATM dihenti sementara - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hari ini mengesahkan bahawa operasi Airbus A400M tentera Malaysia dihentikan sementara waktu berikutan nahas membabitkan pesawat pengangkut jenis yang sama semasa penerbangan ujian di Seville, Sepanyol pada Sabtu lalu.

"Ya, gantung (pesawat) milik kita sehingga kita tahu lebih lanjut," kata Hishamuddin melalui Twitternya bagi menjawab soalan wartawan BERNAMA di sini hari ini.

Menurut agensi berita Reuters, sebuah pesawat pengangkut A400M milik tentera terhempas di luar Seville hujung minggu lepas, mengorbankan empat kru penerbangan ujian dan dua lagi cedera parah.

Insiden itu menyebabkan Malaysia, Jerman, Britain dan Turki menghentikan semua operasi pesawat baharu dan pengangkut kargonya.

Berdasarkan laporan media tempatan, Malaysia menempah empat A400M dan telah menerima penghantaran pesawat pertama pada 9 Mac lalu selepas membuat pembelian pada 2005.

Malaysia dijangka menerima dua lagi pesawat pada akhir tahun ini dan yang keempat pada tahun depan.

- BERNAMA

Berita Harian X