Selasa, 12 Mei 2015 | 4:45pm

Guru muda tabah harungi cabaran

KUALA LUMPUR: Cabaran dalam kerjaya keguruan dalam kalangan guru muda semakin meningkat berikutan perkembangan teknologi dan persekitaran moden pada masa ini.

Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) turut mempengaruhi proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta pembentukan akhlak murid.

Yang Dipertua Guru Muda 1Malaysia (GM1M) Kebangsaan, Husmira Hussin, berkata mahu atau tidak, guru muda perlu menguasai ICT dalam usaha memantapkan PdP dan memastikan isu anak muda dikuasai dengan baik.

Katanya, tugas guru kini berdepan dengan pelbagai cabaran, terutamanya membabitkan ICT bagi memudahkan proses PdP di sekolah.

"Integrasi teknologi dalam PdP memerlukan guru bersedia menggunakan teknologi bagi kaedah pengajaran harian dengan mata pelajaran yang diajar.

"Kita perlu mahir menggunakan teknologi terkini dengan menggunakan ICT selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mahu menerapkan penggunaan teknologi terkini dalam proses PdP di setiap sekolah," katanya yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, Kelantan.

Mengenai tema sambutan Hari Guru iaitu 'Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak', Husmaira berharap guru muda masa kini tidak menganggap tugas sebagai satu kerjaya untuk mereka mencari rezeki semata-mata.

Guru Pendidikan Jasmani Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai, Kuala Perlis, Mohd Fuad Mansor, 32, pula berkata akhlak murid juga boleh dibentuk menerusi pendidikan jasmani dan sukan.

Bantu pelajar lebih cerdas

"Ia sama sahaja dengan subjek lain seperti Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains, namun subjek ini mampu membantu murid atau pelajar menjadi cergas dan pada masa sama dapat menjadikan otak mereka lebih cerdas," katanya.

"Dalam sukan atau permainan berpasukan pula, kita dapat menerapkan sifat kerjasama, tolak ansur dan kepemimpinan dalam diri murid yang mana ia dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka," katanya yang sudah berkhidmat sebagai guru selama tujuh tahun.

Beliau berkata, tema sambutan Hari Guru tahun ini signifikan dengan tanggungjawab guru dalam memastikan ilmu yang diajar mereka bukan sekadar diterima murid atau pelajar sebagai teori tetapi diamalkan dalam kehidupan mereka sehingga dewasa.

Di samping itu, Mohd Fuad turut mengingatkan guru supaya sentiasa memperbaharui azam dan semangat mereka sebagai pendidik supaya kualiti perkhidmatan mereka dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Guru matematik, Wong Lee Kiong, 28, yang baharu tiga tahun menjadi pendidik di Sekolah Menengah Seri Mutiara Kuala Lumpur, berkata orang yang berilmu tetapi tidak mempunyai akhlak baik tidak mempunyai masa depan yang sempurna.

"Kalau orang yang berakhlak dia tidak akan melakukan perkara yang memudaratkan dirinya. Akhlak yang baik, termasuklah menghormati sesama manusia, menerapkan nilai murni dalam diri dan menjaga budi bahasa," katanya.

Lee Kiong berkata, pembentukan GM1M adalah program yang sangat membantu dalam mewujudkan kepimpinan guru muda.

Selain itu, Lee Kiong berkata, PPPM adalah perancangan yang bagus bagi memastikan transformasi ini setaraf dengan pendidikan di peringkat antarabangsa.

"Ia dapat membantu sistem pendidikan dalam hala tuju yang ditetapkan kerana pelan ini selaras dengan dasar pendidikan yang diwujudkan," katanya.

Hilang tumpuan dalam kelas

Lee Kiong berkata, cabarannya semasa menjadi seorang guru apabila pelajar tidak lulus subjek yang diajarnya.

"Ini memang merisaukan kerana saya takut prestasi pelajar yang tidak lulus ini menurun. Saya juga takut mereka hilang tumpuan ketika saya mengajar di dalam kelas.

"Oleh itu, saya akan mengambil langkah untuk bertanyakan soalan yang dia kurang faham dan mengajarnya secara persendirian. Ini dapat memberi sepenuh tumpuan kepadanya," katanya.

Guru ekonomi, S Naveen, 28, yang mengajar di Sekolah Menengah Bukit Damar, Temerloh, Pahang, berkata sebagai pendidik, menjadi tugasnya untuk mendidik pelajar daripada segi ilmu dan membentuk akhlak.

"Di sekolah juga banyak menjalankan pelbagai program untuk mendidik pelajar, termasuklah program keilmuan dan juga membentuk akhlak mereka.

Beliau berkata, kes buli di sekolah, mungkin disebabkan akhlak yang kurang di dalam diri murid itu.

"Kita tidak boleh menyalahkan guru sahaja. Kemungkinan mereka dipengaruhi faktor persekitaran seperti di luar sekolah atau rakan sebaya," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pengerak GM1M Daerah Temerloh berkata, GM1M adalah satu program yang baik kepada guru muda untuk memberi sepenuh komitmen dalam perubahan teknologi maklumat.

"Program ini bukan sekadar memberi input kepada guru, malah pelajar juga akan mendapat ilmu yang sempurna. Ia juga perlu diamalkan di sekolah di setiap daerah," katanya.

Berita Harian X