Isnin, 18 Mei 2015 | 8:29pm

Majlis perundingan pelajar platform terbaik mahasiswa suarakan pandangan - TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) bercakap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Dewan Tun Ismail, PWTC. - Foto Ghazali Kori
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh (kanan) bercakap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di Dewan Tun Ismail, PWTC. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) adalah platform terbaik bagi pemimpin mahasiswa menyuarakan pandangan dan cadangan yang konstruktif kepada kerajaan untuk menggubal dasar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, semua cadangan dikemukakan pemimpin mahasiswa ketika pembentangan kertas kerja pada mesyuarat MPPK juga diperhalusi dan diteliti secara serius untuk dijadikan sebagai sebahagian dasar kerajaan pada masa depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu membuktikan kerajaan bukan saja sentiasa bersikap terbuka dalam mendengar suara mahasiswa, malah memandang serius setiap pandangan dikemukakan.

"Ini adalah bukti bahawa proses demokrasi berjalan dengan baik di Malaysia. Anda sebagai pemimpin mahasiswa yang dipilih oleh rakan pelajar lain dalam pemilihan kampus yang berlangsung secara bebas dan adil.

"Adalah menjadi tugas anda pula untuk mengemukakan cadangan dan pandangan mewakili golongan mahasiswa secara bebas dan jujur kepada kerajaan menerusi mesyuarat MPPK," katanya ketika merasmikan Mesyuarat MPPK di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, petang tadi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut menasihatkan semua mahasiswa supaya sentiasa menghargai ruang dan peluang untuk memberikan pandangan yang konstruktif kepada kerajaan demi kebaikan masyarakat dan negara.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah mengambil pelbagai tindakan susulan Mesyuarat MPPK pada 2014, termasuk menambah baik kemudahan Kad Diskaun Mahasiswa 1 Malaysia (KADS1M) dan menetapkan had umur belia kepada antara 15 tahun dan 30 tahun berbanding 15 tahun dan 40 tahun sebelum ini.

Berita Harian X